Masjid Sultan Ismail (dahulu dikenali sebagai Masjid Raja
Chendering) adalah salah sebuah daripada 491 masjid yang ada di negeri
Terengganu. Ia terletak di Mukim Chendering Daerah Kuala Terengganu. Kedudukan lokasinya
yang bersebelahan dengan jalanaraya Kuala Terengganu-Marang telah menjadikan
masjid ini sebagai tempat persinggahan orang ramai untuk mengerjakan solat.
Menurut catatan sejarah, sebelum terbinanya bangunan lama
Masjid Raja Chendering, terdapat sebuah masjid yang dikenali sebagai Masjid
Lebai Zainal di Kampung Chendering. Ia merupakan masjid pertama dibina di
kampung ini dan merupakan antara masjid yang menjadi tempat persinggahan
orang-orang kenamaan dizaman dahulu. Lokasi bangunan Masjid Lebai Zainal ini
tidak dapat dikenalpasti pada hari ini, tetapi menurut sumber sejarah, ia
terletak tidak jauh dari tapak lokasi masjid yang ada pada hari ini. Masjid ini
adalah bersaiz kecil dan hanya mampu memuatkan seramai 150 orang jemaah
sahaja dalam satu-satu masa.
Akibat daripada peningkatan jumlah penduduk dari semasa ke
semasa, masjid ini telah menjadi sesak dan sudah tidak lagi mampu untuk
menampung bilangan jemaah yang semakin meningkat. Rentetan daripada itu, dalam
tahun 1950, Tengku Abdullah atau lebih dikenali dengan panggilan Tengku Seri Wa
Diraja ketika itu telah mengambil inisiatif dengan menghadiahkan salah sebuah
daripada rumahnya di Kuala Terengganu untuk dijadikan sebagai bangunan masjid
baru bagi menampung bilangan jemaah yang lebih ramai.
Berikutan itu, pada tahun 1951 kerja-kerja merombak kayu
rumah Tengku Seri Wa Diraja telah dilakukan secara bergotong-royong oleh
penduduk Kampung Chendering dan telah memindahkannya menggunakan lori ke sebuah
tapak baru yang diwakafkan untuk masjid oleh Allahyarham Che Dagang. Bermula
daripada pengorbanan Tengku Seri Wa Diraja inilah terakamnya nama Masjid Raja
Chendering yang dikenali sehingga kini sempena menghargai jasa beliau
mewakafkan rumahnya untuk masjid.
Setelah itu, bangunan masjid ini kemudiannya telah mengalami
empat kali pengubahsuaian mengikut peredaran zaman dan keperluan semasa dan
keluasan terakhir masjid ini sebelum dirobohkan bagi pembinaan bangunan baru
yang ada kini seluas 4,200 kaki persegi yang mampu memuatkan seramai
500-600 jemaah dalam satu masa.
Cadangan pembinaan bangunan masjid baru telah dilakukan tahun
1999, satu kertas cadangan pembinaan bangunan baru masjid telah diangkat ke
Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu bagi memohon pandangan dan 2 bidang tanah
bersebelahan dengan masjid juga telah diambil balik oleh kerajaan untuk tujuan
pembesaran masjid.
Setelah mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri
Terengganu, pada awal tahun 2008 Jabatan Kerja Raya telah menawarkan tender
bagi membina dan menyiapkan bangunan baru Masjid Raja Chendering dengan sebut
harga berjumlah RM7,480,404.80. Kerja-kerja pembinaan masjid ini telah
diserahkan kepada syarikat Tasland Corporation Sdn.Bhd untuk disiapkan. Masjid
ini dahulunya dikenali sebagai Masjid Raja oleh penduduk tempatan. Masjid ini
mula dibina dengan bangunan baru bermula 2008 dengan peruntukan sebanyak 7.5
juta dan mampu menampung 2000 jemaah dalam sesuatu masa.