PERUTUSAN PENGERUSI


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Terlebih dahulu dengan penuh rasa rendah diri, saya ingin memanjatkan penuh kesyukuran kehadrat Allah SubhanahuWataala kerana dengan limpah kurnia-Nya, maka dapat saya memberikan sepatah dia kata alu-aluan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Masjid Sultan Ismail, Chendering, Kuala Terengganu.

Tidak dapat dinafikan bahawa, institusi masjid sejak zaman Rasulullah SAW telah memainkan peranan yang penting di dalam penggubalan sejarah kebangkitan Islam. Sebagai salah satu pusat yang berperanan penting kepada simbolik wilayah Islam, institusi masjid juga terus berfungsi sebagaimana fungsi-fungsinya yang universal. Di dalam era globalisasi kini, fungsi dan peranan institusi masjid sentiasa dituntut supaya berperanan lebih luas sesuai dengan peredaran masa dan teknologi. Tidak wajar sekiranya sebuah institusi masjid yang dahulunya menjadi pusat pengembangan syiar Islam dikecilkan skopnya sebagai hanya sekadar rumah ibadat semata-mata dan juga sebagai sebuah ikon pelancongan yang hanya memaparkan keindahan senibinanya.

Untuk itu, saya menyeru agar kita semua dapat melakukan anjakan paradigma pemikiran kita bagi mengangkat status masjid sebagai sebuah institusi ibadah yang sepatutnya berkembang sejajar dengan arus perkembangan zaman dan memainkan peranan di dalam kehidupan masyarakat Islam sebagai sebuah institusi membina kemajuan ummah. Justeru itu, kita seharusnya menunjukkan iltizam supaya memastikan pengurusan masjid berfungsi sebagai pusat ibadah dan pembangunan ummah. Selain itu, pentadbiran dan pengurusan masjid perlulah dikemaskini terutamanya mekanisme yang bercirikan profesionalisme dalam segenap sistem pengurusan dan pentadbiran masjid. Ini adalah kerana pembangunan dan kecemerlangan ummah bermula dari sejauh mana berkesannya penggerak dalam melaksanakan pengurusan masjid.

Sekian.

MOHD SHAFARUDDIN BIN MUSTAFFA